Waktu Operasi Baharu PUSPAKOM – Bermula 10 September 2019

PUSPAKOM (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) ialah pusat pemeriksaan yang dipertanggungjawabkan oleh JPJ untuk memeriksa kenderaan di Malaysia. Antara proses yang memerlukan pemeriksaan ialah proses jual beli kenderaan, tukar guna e-hailing dan juga pengubahsuaian (modification).

Mengikut statistik pemeriksaan kenderaan semasa dan permintaan daripada pemandu e-hailing, pihak PUSPAKOM telah melanjutkan waktu pemeriksaan seperti gambar di bawah. Berikut dipaparkan waktu operasi PUSPAKOM:

Waktu Operasi PUSPAKOM

Sila klik gambar di bawah untuk melihat waktu pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Waktu Operasi PUSPAKOM (berkuat kuasa 10 September 2019)
Waktu Operasi PUSPAKOM (berkuat kuasa 10 September 2019)

Sekiranya anda berhasrat untuk hadir ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan, kami syorkan anda membaca panduan pemeriksaan PUSPAKOM terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan semasa proses pemeriksaan nanti.

Kemas kini 6 Januari 2020: Kami telah menyemak di laman web rasmi PUSPAKOM dan mendapati maklumat operasi di atas masih tepat. Walau bagaimanapun, para pengguna disyorkan untuk hadir sendiri ke PUSPAKOM atau menelefon talian PUSPAKOM untuk mendapatkan pengesahan waktu operasi PUSPAKOM.

 

Dikemas kini pada

Senarai Lokasi Pemasangan Touch ‘N Go RFID Di Malaysia

Kebanyakan lebuh raya di Malaysia sudah menawarkan kaedah bayaran tol yang lebih cepat dan mesra pengguna, iaitu Touch ‘N Go RFID. Malah, Lebuh raya PLUS di seluruh negara juga akan menawarkan perkhidmatan Touch ‘N Go RFID di semua plaza tol di Malaysia pada tahun 2020 nanti.

Sila klik pautan ini untuk melihat senarai lokasi pemasangan atau fitment untuk pelekat Touch ‘N Go RFID.

Untuk mengetahui senarai dokumen yang perlu dibawa dan cara pendaftaran, sila klik sini: Cara Daftar Touch ‘N Go RFiD

Sebelum anda ingin memasang pelekat RFID pada kenderaan anda, anda perlu mendaftar akaun Touch ‘N Go eWallet terlebih dahulu. Untuk panduan, sila klik sini: Cara Daftar Touch ‘N Go eWallet

 

Dikemas kini pada

Cara Membeli dan Mendaftar Kad Komuter Link X

Para penumpang tren KTM Komuter kini dapat menikmati penjimatan yang lebih hebat lagi apabila mendapatkan kad diskaun daripada pihak KTM Berhad (KTMB). Oleh itu, kami ingin berkongsi dengan anda cara-cara untuk anda membeli dan mendaftar kad Komuter Link X.

Dengan Kad Komuter Link X, anda boleh menikmati penjimatan tambang sehingga 20% berbanding tambang nilai tunai biasa.

Kad Komuter Link X ini ialah sejenis kad nilai simpan (stored value card). Dengan menggunakan kad ini, anda boleh menambah nilai dan membuat perjalanan pada harga yang lebih menarik.

Panduan Membeli dan Mendaftar Kad Komuter Link X

Untuk membeli dan mendaftar kad Komuter Link X, anda hanya perlu membawa bersama MyKad anda dan hadir sendiri di stesen KTM Komuter bagi tujuan pendaftaran. Berikut dipaparkan langkah-langkahnya:

  1. Hadir sendiri ke kaunter tiket KTM Komuter (wakil tidak dibenarkan)
  2. Tunjukkan MyKad anda yang sah (asal) semasa proses pembelian. Sila pastikan MyKad anda boleh dibaca cipnya bagi mengelakkan sebarang kesulitan  nanti.
  3. Staf KTM Berhad di kaunter akan meneruskan proses pendaftaran.
  4. Sila bayar RM 3.00 bagi caj pengaktifan kad. Ketika ini juga, anda boleh menambah nilai pada kad tersebut.
  5. Anda akan menerima sekeping kad Komuter Link X. Kad berkenaan boleh digunakan serta-merta.

Perkara-perkara Penting Yang Wajar Anda Tahu

  • Sebolehnya, jangan sentuh masuk dan sentuh keluar di stesen yang sama.  Penalti RM 10.00 akan dikenakan sekiranya anda masuk dan keluar di stesen yang sama. Sekiranya anda tidak mahu membayar RM 10.00 itu, anda boleh memaklumkan kepada staf KTM Berhad yang bertugas di pintu masuk platform.
  • Kad Komuter Link X hanya boleh dibeli oleh warganegara Malaysia.

MYJadual: Laman web pengangkutan awam No. 1 di Malaysia.

 

Dikemas kini pada

Panduan Memohon Lesen PSV Untuk Pemandu Grab

Pada tahun 2018, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa para pemandu perkhidmatan e-hailing Grab bakal diwajibkan mematuhi beberapa peraturan bagi membolehkan mereka terus memandu bersama Grab dan mengambil penumpang. Antara peraturan yang diperkenalkan ialah keperluan untuk memiliki lesen PSV.

Waktu Operasi Semua Cawangan PUSPAKOM (bermula 10 September 2019)
Waktu Operasi Semua Cawangan PUSPAKOM (bermula 10 September 2019)

Walaupun peraturan-peraturan baru e-hailing dikatakan akan berkuat kuasa pada 12 Julai 2019, namun disebabkan oleh terdapatnya bantahan daripada komuniti pemandu e-hailing dan juga ketidak sediaan daripada sebahagian besar daripada mereka, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa selama tiga bulan. Oleh itu, bermula 12 Oktober 2019, hanya pemandu e-hailing yang memiliki PSV sahaja boleh mengambil penumpang, di samping keperluan untuk mematuhi beberapa peraturan lain.

Langkah 1: Pemeriksaan kesihatan

Kerajaan berhasrat untuk memastikan hanya pemandu Grab yang sihat sahaja boleh memandu. Oleh itu, sebagai sebahagian daripada syarat untuk memohon lesen PSV, para pemandu Grab dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Pemeriksaan kesihatan untuk lesen PSV ini boleh dibuat di mana-mana klinik panel Grab atau mana-mana klinik yang menawarkan perkhidmatan “medical checkup” untuk lesen PSV.

Anda wajib lulus untuk saringan kesihatan ini.

Dokumen yang wajib dibawa semasa hadir untuk sesi saringan kesihatan ini ialah 1) Kad Pengenalan dan 2) Borang JPJ L8A: Pemeriksaan Kesihatan Permohonan Lesen Vokasional.

Langkah 2: Kursus Teori Lesen PSV

Bermula 12 Oktober 2019, pihak Grab menawarkan kursus teori bagi proses permohonan lesen PSV. Kursus ini mengambil masa selama separuh hari dan dijalankan di Grab Driver Centre Axis di Petaling Jaya dan beberapa lokasi lain. Klik pautan di bawah untuk mengetahui lokasi-lokasi yang menawarkan perkhidmatan kursus teori PSV.

Klik sini untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Grab untuk rakan-rakan pemandunya.

Langkah 3: Peperiksaan PSV

Selepas menghadiri kelas teori, anda perlu meneruskan dengan urusan peperiksaan PSV. Peperiksaan ini dijalankan oleh pihak JPJ.

Tempoh masa ialah sejam (60 minit) dan terdapat 60 soalan objektif aneka pilihan untuk anda jawab. Soalan-soalan yang dikemukakan pula dalam Bahasa Melayu.

Keputusan peperiksaan ini hanya akan dipaparkan secara atas talian (online). Semakan keputusan boleh dibuat melalui laman mySIKAP JPJ.

Langkah 4: Memohon lesen PSV di cawangan JPJ Negeri

Mendaftar lesen PSV di mana-mana pejabat JPJ cawangan negeri (kecuali Putrajaya). Dokumen yang diperlukan ialah:

a) Laporan pemeriksaan perubatan: Laporan pemeriksaan perubatan ini merupakan borang JPJ L8A yang telah diisi oleh doktor. Sila pastikan borang tersebut diisi dengan lengkap.

b) Salinan lesen memandu: Sila pastikan anda telah memfotokopi sesalinan lesen memandu anda untuk diberikan kepada pihak JPJ.

c) Pengesahan peperiksaan PSV

d) Resit ASAL bayaran pemeriksaan perubatan: Apabila selesai pemeriksaan perubatan, sila simpan resit tersebut kerana resit ASAL ini ialah salah satu dokumen wajib dibawa semasa proses permohonan lesen PSV.

e) Kad Pengenalan

f) Lesen Memandu: Lesen memandu perlu memiliki tempoh sah selama melebihi 1 tahun daripada tarikh permohonan lesen PSV. Sekiranya tarikh tamat tempoh lesen memandu anda semakin hampir, anda perlu memperbaharui lesen memandu tersebut terlebih dahulu di mana-mana cawangan JPJ, Pejabat Pos atau UTC berdekatan.

Bayaran ialah RM 20.00 setahun. Apabila selesai membuat bayaran kepada pihak JPJ, sila minta resit tanda bayaran kerana resit tersebut boleh digunakan sebagai rujukan di masa hadapan dan juga dapat membasmi amalan rasuah kerana wang yang diterima tersebut akan dimasukkan dalam sistem komputer JPJ.

Anda belum mendaftar sebagai rakan pemandu Grab?Klik sini untuk mendaftar.

Anda belum mendaftar akaun eWallet Touch ‘N Go? Diskaun hebat dan rebat tol menanti anda. Klik sini untuk mendaftar.

Jika kenderaan anda berusia 3 tahun ke atas, anda wajib menjalani pemeriksaan PUSPAKOM. Klik sini untuk panduan.

Dikemas kini pada

Kenapa Tiada PayDirect di PLUS

Soalan: Ketika fungsi PayDirect Touch ‘N Go telah dilaksanakan di kesemua lebuh raya “open system” di Lembah Klang, mengapa lebuh raya PLUS masih tidak menyokong keupayaan PayDirect Touch ‘N Go?

Jawapan: Lebuh raya PLUS menggunakan sistem tertutup, juga dikenali dengan nama “closed system”. Perbezaan ketara antara “closed system” dan “open system” ialah “closed system” memerlukan pengguna lebuh raya untuk sentuh masuk (tap in) dan kemudiannya sentuh keluar (tap out) untuk keluar dari sistem lebuh raya. Contohnya seperti “tap in” di Rawang dan “tap out” di Ipoh Selatan. Oleh itu, seseorang yang “tap in” di mana-mana plaza tol “closed system” lebuh raya PLUS boleh “tap out” di Senai, Johor ataupun Juru, Pulau Pinang. Pada pendapat kami, proses menaik taraf semua plaza tol memakan masa dan belanja yang tinggi, menyebabkan pihak PLUS tidak dapat menyediakan kemudahan seumpama kebanyakan lebuh raya lain dalam tempoh masa singkat.

Satu lagi kemungkinan kenapa teknologi RFID dan PayDirect lambat tiba di lebuh raya PLUS ialah masalah persefahaman antara pihak PLUS dan Touch ‘N Go sendiri. Masalah ini menjadi kian meruncing apabila PLUS mengumumkan proses tambah nilai di lorong keluar plaza tol tidak dibenarkan bermula 5 November 2019.

Media massa melaporkan bahawa pada 18 Disember 2018, Touch ‘N Go bertindak memulakan proses menyaman PLUS Malaysia Berhad kerana pihak PLUS ingin melancarkan sistem kutipan tolnya sendiri.

12 November 2019: Akhbar The Edge Financial Daily melaporkan bahawa lebuh raya PLUS akan menambah kaedah bayaran tol yang terbaru, iaitu RFID Tag pada tahun 2020. Klik sini untuk artikel utama.

Dikemas kini pada

Belanjawan 2020: Intipati dan Ulasan Bagi Sektor Pengangkutan

Pada hari Jumaat, 11 Oktober 2019, Kerajaan Malaysia telah membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat. Oleh itu, kami ingin berkongsi dengan anda apakah intipati yang terkandung dalam belanjawan tersebut yang melibatkan sector pengangkutan di Malaysia.

Kajian Kebolehlaksanaan

Projek Serendah – Port Klang Rail Bypass

Projek Koridor Logistik Klang: Lebuh raya logistik baharu yang akan dibangunkan khusus untuk menghubungkan Northport, Westport dan rangkaian lebuh raya yang sedia ada dengan lebih cekap.

Nota: Kedua-dua projek ini dianggarkan bernilai RM 8.3 bilion.

 

Pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya

RM 50 juta: Pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang.

 

Sistem Kereta Kabel Baharu

RM 100 juta: Kerajaan Persekutuan akan menyumbang kepada pembinaan system kereta kabel baaru ke Bukit Bendera kerana kereta api funicular sekarang dijangka akan mencecah dua juta penumpang setahun dan melebihi kapasiti sedia ada. Kos tambahan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

 

Peruntukan-peruntukan lain

RM 450 juta: Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 599 bas elektrik pelbagai saiz untuk pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih seluruh negara.

RM 146 juta: Subsidi kerajaan kepada pengusaha bas untuk sambungan last-mile di luar bandar

RM 50 juta: Menaik taraf landasan keretapi di Kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom di Sabah

RM 85 juta: Melancarkan aliran trafik kenderaan di Tambak Johor melalui pembukaan 50 kaunter tambahan untuk penunggang motosikal, penambah baikan kaunter imigresen dan lebuh raya PLUS.

 

Kenyataan yang tidak disertakan jumlah perbelanjaan

Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh: Kerajaan bercadang untuk mempelawa cadangan kerjasama awam swasta bagi tujuan menaik taraf lapangan terbang ini termasuklah kerja memanjangkan landasan.

Projek Sistem Rapid Transit (RTS): Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek RTS.

 

Pengambilalihan lebuh raya

Ambil alih KESAS, LDP, SPRINT dan SMART: Jemaah Menteri telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART). Cas kesesakan akan diperkenalkan di lebuh raya yang dinyatakan.

RM 7.00: Kadar baharu tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang (berbanding RM 8.50 kadar pada tahun 2019)

 

Program Subsidi Petrol Bersasar (PSP)

RM 2.2 bilion: Kerajaan memperuntukkan RM 2.2 bilion bagi program PSP. Secara ringkasnya, PSP memberi RM30 sebulan bagi pemilik kereta dan RM 12 sebulan bagi pemilik motosikal. Tertakluk kepada syarat-syarat tambahan.

 

Rebat Cukai Pendapatan

Levi Pelepasan ke Tanah Suci: Individu yang membayar levi pelepasan untuk tujuan ke tanah suci bagi urusan umrah dan ziarah boleh menuntut rebat cukai pendapatan sebanyak dua kali seumur hidup. Mengikut kadar levi pelepasan semasa, jumlah yang boleh dituntut ialah RM 50 (bagi kelas penerbangan ekonomi) dan RM 150 (bagi kelas penerbangan selain daripada ekonomi).

Dikemas kini pada

Cara Perbaharui Cukai Jalan Motosikal

Apabila cukai jalan (road tax) motosikal anda hampir tamat tempoh, anda perlu mengambil langkah untuk memperbaharuinya. Sebelum memperbaharui cukai jalan, anda perlu memperbaharui insurans/takaful motosikal anda dahulu.

Setelah proses memperbaharui insurans/takaful selesai, anda boleh meneruskan dengan proses memperbaharui cukai jalan. Proses untuk memperbaharui cukai jalan atau juga dikenali dengan istilah “renew roadtax” ini boleh dilakukan dengan beberapa cara, antaranya:

  1. Renew di Pejabat Pos: Sekiranya anda memilih untuk memperbaharui cukai jalan anda di pejabat pos, anda hanya perlu membawa Kad Pengenalan (IC) anda dan juga tahu maklumat berkenaan pemilik kenderaan tersebut dan juga kenderaan yang ingin diperbaharui cukai jalannya. Bayaran tambahan yang dikenakan ialah RM 2.00 sebagai caj upah kepada Pos Malaysia.
  2. Renew di kaunter JPJ: Sekiranya anda memilih untuk memperbaharui cukai jalan anda di kaunter JPJ, anda hanya perlu membawa Kad Pengenalan (IC) anda dan juga tahu maklumat berkenaan pemilik kenderaan tersebut dan juga kenderaan yang ingin diperbaharui cukai jalannya. Tiada bayaran tambahan yang dikenakan jika anda memperbaharui cukai jalan anda di kaunter JPJ.

Nota 1: Walaupun pihak JPJ ada menyediakan perkhidmatan layan diri di kiosk-kiosk seluruh negara, kiosk-kiosk tersebut tidak menyediakan perkhidmatan mencetak cukai jalan motosikal. Untuk tujuan itu anda masih perlu memperbaharui cukai jalan anda di cawangan JPJ berdekatan.

Dikemas kini pada

Harga Runcit Disyorkan Untuk Produk Penyelenggaraan Motosikal Yamaha

Sebilangan pengguna motosikal jenama Yamaha pastinya ingin menggunakan produk yang tulen (original) dan dibuat khusus untuk motosikal mereka. Untuk itu, Yamaha ada menawarkan sebilangan produk penyelenggaraan motosikal berjenama Yamalube untuk digunakan oleh pemilik-pemilik motosikal Yamaha. Harga runcit yang disyorkan adalah seperti berikut:

Harga Runcit yang Disyorkan untuk Produk Penyelenggaraan Motosikal Yamaha
Harga Runcit yang Disyorkan untuk Produk Penyelenggaraan Motosikal Yamaha

Nota: Harga yang dipaparkan pada bahagian atas ialah harga runcit yang disyorkan (recommended retail price) untuk Semenanjung Malaysia manakala di bawah pula ialah harga runcit disyorkan untuk negeri Sabah & Sarawak.

Dikemas kini pada

Lapangan Terbang Pertama di Malaysia

Walaupun Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Airport – KLIA – KUL) kini merupakan lapangan terbang utama di Malaysia, namun lapangan terbang pertama di negara ini bukanlah terletak di Kuala Lumpur.

Sejarah Lapangan Terbang Pertama di Malaysia

Sebaliknya, lapangan terbang yang pertama di Malaysia ialah sebuah airstrip yang terletak di bandar Taiping yang dikenali dengan nama Tekah Airstrip. Lapangan ini dikenali dengan beberapa nama seperti Tekah Airstrip, Taiping Airport dan Taiping Aerodrome. Airstrip berkenaan dibina pada tahun 1929. Pada ketika itu, bandar Taiping merupakan bandar utama di Tanah Melayu. Airstrip ini dibina oleh pihak pentadbiran British pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, pembinaan beberapa lapangan terbang lain di sekitar semenanjung Malaysia telah membuatkan airstrip ini menjadi kurang penting. Pada masa ini, walaupun airstrip di Taiping ini masin wujud, namun tiada penerbangan awam berjadual yang berlepas atau tiba di lapangan terbang ini.

Airstrip ini menjadi popular kerana juruterbang solo wanita terkenal, Amelia Earhart pernah mendarat seketika di airstrip ini untuk mengisi minyak dalam penerbangan solonya mengelilingi dunia.

Selain daripada airstrip di Taiping tersebut, sebuah airstrip juga turut dibina di bandar Alor Setar pada tahun yang sama. Airstrip berkenaan masih ada sehingga hari ini dan sudah dinaik taraf menjadi lapangan terbang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar – AOR). Walau bagaimanapun, lapangan terbang di Taiping tetap dianggap sebagai lapangan terbang yang pertama di Malaysia.

Dikemas kini pada

Panduan Pemeriksaan PUSPAKOM

Pemeriksaan PUSPAKOM ialah pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dijalankan oleh pihak PUSPAKOM. PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi tujuan pemeriksaan kenderaan. Antara sebab-sebab yang memerlukan anda menjalani pemeriksaan PUSPAKOM ialah proses jual beli kenderaan, ubah suai, penggunaan komersil dan juga penggunaan e-hailing seperti Grab.

PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1994 bagi tujuan menjalankan pemeriksaan kenderaan (vehicle inspection) bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Laman Web PUSPAKOM

Mulai 12 Julai 2019, semua kenderaan e-hailing yang berusia 3 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di PUSPAKOM. Jika anda memandu kenderaan persendirian bagi tujuan e-hailing seperti Grab, anda perlu membuat pemeriksaan berkala di PUSPAKOM.

Berikut dipaparkan langkah-langkah yang boleh anda ikuti untuk membuat pemeriksaan kenderaan anda di PUSPAKOM.

Langkah 1: Kenal Pasti Jenis Pemeriksaan PUSPAKOM

  • Pemeriksaan Berkala
  • Pemeriksaan Tukar Milik
  • Pemeriksaan Sewa Beli
  • Pemeriksaan Awalan
  • Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela
  • Pemeriksaan Khas
  • Perkhidmatan Pengesahan Pelan Kenderaan

Pemandu Grab: Untuk pemandu Grab, terdapat dua jenis pemeriksaan iaitu 1) Pemeriksaan Berkala E-hailing Pertama dan 2) Pemeriksaan Berkala Semula E-hailing. Pemeriksaan Berkala Semula hanya diperlukan sekiranya anda gagal dalam pemeriksaan sebelumnya. Klik sini untuk membaca panduan pendaftaran pemandu Grab.

Langkah 2: Sediakan Dokumen Yang Diperlukan

Pemeriksaan oleh pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan

Pemeriksaan oleh bukan pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan Wakil, Surat Wakil

Langkah 3: Mendaftar Untuk Temu Janji Pemeriksaan

Laman web: Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.

Aplikasi mudah alih (mobile app): Jika anda mempunyai telefon mudah alih pintar (smartphone) Android, anda boleh memuat turun Mobile App myPUSPAKOM di Google Play Store. Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.

Pendaftaran myPUSPAKOM sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Sebaik sahaja anda mendaftar, anda boleh membuat temu janji berserta bayaran. Bayaran boleh dibuat melalui kad kredit atau kad debit pilihan anda.

Langkah 4: Hadir Untuk Pemeriksaan

Ada Temu Janji: Anda hanya perlu membawa dokumen temu janji atau kod QR untuk pengesahan temu janji.

Anda boleh megimbas kod QR boleh dibuat di pintu masuk PUSPAKOM, berhampiran pintu pagar. Kebiasaannya proses ini mudah kerana anda hanya perlu mengimbas kod QR dalam telefon pintar atau dokumen pengesahan temu janji yang dicetak. Tiada bayaran yang perlu dibuat ketika mengimbas kod QR atau pemeriksaan kerana bayaran sudah dibuat lebih awal semasa proses daftar temu janji di laman web / aplikasi mudah alih myPUSPAKOM.

Tiada Temu Janji: Sila hadir ke Puspakom dan isi borang pemeriksaan. Bayaran boleh dibuat sebelum pemeriksaan bermula.

Langkah 5: Dapatkan Keputusan Pemeriksaan

Apabila kenderaan anda selesai diperiksa, pegawai PUSPAKOM akan memanggil anda untuk memaklumkan keputusan pemeriksaan. Jika anda gagal, anda perlu hadir semula dalam tempoh sebulan untuk menjalani “pemeriksaan semula”. Jika anda gagal hadir dalam tempoh yang ditetapkan, anda harus melakukan pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan baru.

Lulus: Anda telah lulus pemeriksaan dan dokumen perakuan kelulusan akan dikeluarkan oleh pihak PUSPAKOM.

Gagal: Anda akan menerima laporan pemeriksaan VR1 yang mengandungi keputusan pemeriksaan. Pegawai akan memaklumkan kepada anda punca-punca gagalnya kenderaan anda mencapai standard yang diperiksa oleh PUSPAKOM. Anda perlu hadir untuk pemeriksaan semula dalam masa yang ditetapkan oleh pihak PUSPAKOM. Pemeriksaan semula hanya boleh dibuat di PUSPAKOM yang sama dengan pemeriksaan pertama kali.

Gagal lebih 3 kali: Sekiranya anda telah gagal melebihi 3 kali, anda diwajibkan untuk bertemu pegawai PUSPAKOM untuk perbincangan lebih lanjut. Menurut pengalaman seorang pengguna, pegawai PUSPAKOM tersebut hanya menasihati pengguna berkenaan faktor-faktor kegagalan pemeriksaan.

Soalan-soalan Lazim dan Nota Untuk Pengguna

Bagaimana saya ingin membuat bayaran pemeriksaan di PUSPAKOM? Bayaran-bayaran untuk pemeriksaan yang disenaraikan adalah bayaran sahaja tanpa Cukai Perkhidmatan (SST). Sila bawa wang lebih untuk membayar SST sebanyak 6% daripada jumlah bayaran pemeriksaan yang dikenakan.

Bolehkah saya membuat bayaran dengan kad kredit / debit di kaunter PUSPAKOM? Walaupun kebanyakan lokasi PUSPAKOM menerima kaedah pembayaran melalui kad kredit, namun begitu kadang-kadang mesin kad kredit mereka mengalami masalah. Oleh itu, para pengguna yang membuat bayaran di pusat pemeriksaan wajar untuk membawa wang tunai yang mencukupi.

Sekiranya saya gagal, adakah bermakna saya perlu menggunakan khidmat runner, gerenti “lulus” PUSPAKOM? Sekiranya anda gagal pemeriksaan, anda harus meneliti punca-punca kegagalan. Sebagai contoh, sebahagian kecil daripada kereta Proton mengalami masalah brek belakang. Oleh itu, anda perlu memastikan brek bahagian belakang anda diservis di bengkel-bengkel yang memiliki kepakaran untuk melaksanakan penyelenggaran tersebut.

Dikemas kini pada