Pemeriksaan PUSPAKOM ialah pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dijalankan oleh pihak PUSPAKOM. PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang dilantik olehJabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi tujuan pemeriksaan kenderaan. Antara sebab-sebab yang memerlukan anda menjalani pemeriksaan PUSPAKOM ialah proses jual beli kenderaan, ubah suai, penggunaan komersil dan juga penggunaan e-hailing seperti Grab.
PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1994 bagi tujuan menjalankan pemeriksaan kenderaan (vehicle inspection) bagi pihak Kerajaan Malaysia.
Mulai 12 Julai 2019, semua kenderaan e-hailing yang berusia 3 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di PUSPAKOM. Jika anda memandu kenderaan persendirian bagi tujuan e-hailing seperti Grab, anda perlu membuat pemeriksaan berkala di PUSPAKOM.
Berikut dipaparkan langkah-langkah yang boleh anda ikuti untuk membuat pemeriksaan kenderaan anda di PUSPAKOM.
Langkah 1: Kenal Pasti Jenis Pemeriksaan PUSPAKOM
Pemeriksaan Berkala
Pemeriksaan Tukar Milik
Pemeriksaan Sewa Beli
Pemeriksaan Awalan
Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela
Pemeriksaan Khas
Perkhidmatan Pengesahan Pelan Kenderaan
Pemandu Grab: Untuk pemandu Grab, terdapat dua jenis pemeriksaan iaitu 1) Pemeriksaan Berkala E-hailing Pertama dan 2) Pemeriksaan Berkala Semula E-hailing. Pemeriksaan Berkala Semula hanya diperlukan sekiranya anda gagal dalam pemeriksaan sebelumnya. Klik sini untuk membaca panduan pendaftaran pemandu Grab.
Pemeriksaan Sukarela (Voluntary Inspection): Pemilik kenderaan boleh membuat pemeriksaan kenderaan mereka di PUSPAKOM. Tawaran harga menarik atau pemeriksaan percuma juga ada ditawarkan terutamanya ketika musim perayaan.
Langkah 2: Sediakan Dokumen Yang Diperlukan
Pemeriksaan oleh pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan
Pemeriksaan oleh bukan pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan Wakil, Surat Wakil
Langkah 3: Mendaftar Untuk Temu Janji Pemeriksaan
Laman web: Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.
Aplikasi mudah alih (mobile app): Jika anda mempunyai telefon mudah alih pintar (smartphone) Android, anda boleh memuat turun Mobile App myPUSPAKOM di Google Play Store. Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.
Pendaftaran myPUSPAKOM sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Sebaik sahaja anda mendaftar, anda boleh membuat temu janji berserta bayaran. Bayaran boleh dibuat melalui kad kredit atau kad debit pilihan anda.
Langkah 4: Hadir Untuk Pemeriksaan
Ada Temu Janji: Anda hanya perlu membawa dokumen temu janji atau kod QR untuk pengesahan temu janji.
Anda boleh megimbas kod QR boleh dibuat di pintu masuk PUSPAKOM, berhampiran pintu pagar. Kebiasaannya proses ini mudah kerana anda hanya perlu mengimbas kod QR dalam telefon pintar atau dokumen pengesahan temu janji yang dicetak. Tiada bayaran yang perlu dibuat ketika mengimbas kod QR atau pemeriksaan kerana bayaran sudah dibuat lebih awal semasa proses daftar temu janji di laman web / aplikasi mudah alih myPUSPAKOM.
Tiada Temu Janji: Sila hadir ke Puspakom dan isi borang pemeriksaan. Bayaran boleh dibuat sebelum pemeriksaan bermula.
[ Kemas kini 14 November 2020 ] Maklumat Penting Untuk Temu Janji
Pihak PUSPAKOM meletakkan notis dalam laman myPUSPAKOM seperti berikut:
Pelanggan yang dihargai,
Mulai 10 Oktober 2020, PUSPAKOM tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pembatalan dan pembayaran balik temujanji pemeriksaan. Pelanggan hanya boleh menukar tarikh temujanji sebelum 5 hari daripada tarikh pemeriksaan dan ianya hanya boleh dilakukan SEKALI sahaja.
Sila klik Terma & Syarat Polisi Tiada Pemulangan Bayaran di www.mypuspakom.com.my/Home/Terms untuk mendapat maklumat yang lanjut. Terima kasih.
PUSPAKOM Sdn Bhd
Langkah 5: Dapatkan Keputusan Pemeriksaan
Apabila kenderaan anda selesai diperiksa, pegawai PUSPAKOM akan memanggil anda untuk memaklumkan keputusan pemeriksaan. Jika anda gagal, anda perlu hadir semula dalam tempoh sebulan untuk menjalani “pemeriksaan semula”. Jika anda gagal hadir dalam tempoh yang ditetapkan, anda harus melakukan pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan baru.
Lulus: Anda telah lulus pemeriksaan dan dokumen perakuan kelulusan akan dikeluarkan oleh pihak PUSPAKOM.
Gagal: Anda akan menerima laporan pemeriksaan VR1 yang mengandungi keputusan pemeriksaan. Pegawai akan memaklumkan kepada anda punca-punca gagalnya kenderaan anda mencapai standard yang diperiksa oleh PUSPAKOM. Anda perlu hadir untuk pemeriksaan semula dalam masa yang ditetapkan oleh pihak PUSPAKOM. Pemeriksaan semula hanya boleh dibuat di PUSPAKOM yang sama dengan pemeriksaan pertama kali.
Gagal lebih 3 kali: Sekiranya anda telah gagal melebihi 3 kali, anda diwajibkan untuk bertemu pegawai PUSPAKOM untuk perbincangan lebih lanjut. Menurut pengalaman pengguna, pegawai PUSPAKOM tersebut hanya menasihati pengguna berkenaan faktor-faktor kegagalan pemeriksaan. Urusan pembaikan kenderaan perlu dilakukan sendiri oleh pemilik kenderaan.
Soalan-soalan Lazim dan Nota Untuk Pengguna
Bagaimana saya ingin membuat bayaran pemeriksaan di PUSPAKOM? Bayaran-bayaran untuk pemeriksaan yang disenaraikan adalah bayaran sahaja tanpa Cukai Perkhidmatan (SST). Sila bawa wang lebih untuk membayar SST sebanyak 6% daripada jumlah bayaran pemeriksaan yang dikenakan.
Bolehkah saya membuat bayaran dengan kad kredit / debit di kaunter PUSPAKOM? Walaupun kebanyakan lokasi PUSPAKOM menerima kaedah pembayaran melalui kad kredit, namun begitu kadang-kadang mesin kad kredit mereka mengalami masalah. Oleh itu, para pengguna yang membuat bayaran di pusat pemeriksaan wajar untuk membawa wang tunai yang mencukupi.
Sekiranya saya gagal, adakah bermakna saya perlu menggunakan khidmat runner, gerenti “lulus” PUSPAKOM? Sekiranya anda gagal pemeriksaan, anda harus meneliti punca-punca kegagalan. Sebagai contoh, sebahagian kecil daripada kereta Proton mengalami masalah brek belakang. Oleh itu, anda perlu memastikan brek bahagian belakang anda diservis di bengkel-bengkel yang memiliki kepakaran untuk melaksanakan penyelenggaran tersebut. Walaupun ramai antara pengguna lain menasihati anda untuk menggunakan khidmat runner, namun penggunaan khidmat runner tetap tidak dijamin akan lulus. Sebaiknya, sila jalani sendiri pemeriksaan kenderaan anda di PUSPAKOM untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan punca-punca anda gagal pemeriksaan dan apa yang boleh dilakukan untuk memastikan anda lulus pemeriksaan.