style="visibility: hidden !important;"
Please disable your adblock and script blockers to view this page

Menjelang PKP Penuh 2021: Kenapa Tol Gombak Sesak?

Menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang dijadualkan bermula pada 1 Jun 2021 nanti, kelihatan banyak kenderaan di sekitar plaza tol Gombak. Laluan utama ke pantai timur ini dilihat sesak tidak sampai 24 jam selepas pengumuman PKP penuh kerajaan.

Adakah PKP Penuh 2021 menyebabkan Tol Gombak sesak?

Persoalan pokok yang sering bermain di minta netizen ialah, kenapa banyak kereta dilihat menuju ke pantai timur Semenanjung Malaysia? Adakah benar semuanya terdiri daripada Pasangan Jarak Jauh (PJJ), kes kecemasan dan urusan pekerjaan?

Hasil rungutan orang ramai, pihak polis menyiasat kebenaran dakwaan yang dilontarkan itu. Siasatan polis mendapati sebahagian besar pengguna lebuh raya berkenaan mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Selain itu, polis juga mendapati pemeriksaan teliti di Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan plaza tol membuatkan kesesakan berlaku di kawasan sekitarnya.

Walaupun begitu, adakah netizen berpuas hati? Tidak semestinya. Anggapan yang bermain di fikiran ialah wujudnya penyalahgunaan kebenaran rentas negeri yang diberikan oleh pihak polis.

Memandangkan isu ini bukanlah isu kecil, pihak kerajaan menerusi kementerian atau agensi yang berkaitan boleh mencari info lebih dan menerangkan punca-punca kesesakan ini dengan lebih baik.

Data Penggunaan Tol

Syarikat konsesi lebuh raya pastinya memiliki data berkenaan penggunaan plaza tol. Mereka mengetahui bilangan kenderaan yang melalui setiap plaza tol bawah seliaan mereka. Data ini kemudiannya boleh disuaikan dengan hari (hari bekerja ataupun hujung minggu), cuti umum ataupun sempena musim perayaan.

Berdasarkan data dan pola penggunaan tol sebelum ini, kita dapat simpulkan sama ada terjadinya overcrowding pada kali ini. Dengan penyediaan data yang lebih terbuka daripada pihak kerajaan (dan syarikat konsesi), rakyat dapat memproses dan menilai sendiri situasi semasa berdasarkan data yang diberi. Selain daripada itu, persoalan yang sihat juga boleh dibincangkan dalam persekitaran yang lebih selamat dan transparent.

Walau bagaimanapun, sebilangan warga kerja di Malaysia ini tidak mahu “orang luar” tahu banyak sangat. Maka jadilah data-data yang dikutip itu terperuk begitu sahaja tanpa wujud tenaga kerja mahir bagi memproses data berkenaan dan menukarnya menjadi alat untuk membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih baik.