style="visibility: hidden !important;"
Please disable your adblock and script blockers to view this page

Waktu Operasi Baharu PUSPAKOM – Bermula 10 September 2019

PUSPAKOM (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) ialah pusat pemeriksaan yang dipertanggungjawabkan oleh JPJ untuk memeriksa kenderaan di Malaysia. Antara proses yang memerlukan pemeriksaan ialah proses jual beli kenderaan, tukar guna e-hailing dan juga pengubahsuaian (modification).

Mengikut statistik pemeriksaan kenderaan semasa dan permintaan daripada pemandu e-hailing, pihak PUSPAKOM telah melanjutkan waktu pemeriksaan seperti gambar di bawah. Berikut dipaparkan waktu operasi PUSPAKOM:

Waktu Operasi PUSPAKOM

Sila klik gambar di bawah untuk melihat waktu pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Waktu Operasi PUSPAKOM (berkuat kuasa 10 September 2019)
Waktu Operasi PUSPAKOM (berkuat kuasa 10 September 2019)

Sekiranya anda berhasrat untuk hadir ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan, kami syorkan anda membaca panduan pemeriksaan PUSPAKOM terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan semasa proses pemeriksaan nanti.

Kemas kini 6 Januari 2020: Kami telah menyemak di laman web rasmi PUSPAKOM dan mendapati maklumat operasi di atas masih tepat. Walau bagaimanapun, para pengguna disyorkan untuk hadir sendiri ke PUSPAKOM atau menelefon talian PUSPAKOM untuk mendapatkan pengesahan waktu operasi PUSPAKOM.

Panduan Pemeriksaan PUSPAKOM

Pemeriksaan PUSPAKOM ialah pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dijalankan oleh pihak PUSPAKOM. PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi tujuan pemeriksaan kenderaan. Antara sebab-sebab yang memerlukan anda menjalani pemeriksaan PUSPAKOM ialah proses jual beli kenderaan, ubah suai, penggunaan komersil dan juga penggunaan e-hailing seperti Grab.

PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1994 bagi tujuan menjalankan pemeriksaan kenderaan (vehicle inspection) bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Laman Web PUSPAKOM

Mulai 12 Julai 2019, semua kenderaan e-hailing yang berusia 3 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di PUSPAKOM. Jika anda memandu kenderaan persendirian bagi tujuan e-hailing seperti Grab, anda perlu membuat pemeriksaan berkala di PUSPAKOM.

Berikut dipaparkan langkah-langkah yang boleh anda ikuti untuk membuat pemeriksaan kenderaan anda di PUSPAKOM.

Langkah 1: Kenal Pasti Jenis Pemeriksaan PUSPAKOM

  • Pemeriksaan Berkala
  • Pemeriksaan Tukar Milik
  • Pemeriksaan Sewa Beli
  • Pemeriksaan Awalan
  • Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela
  • Pemeriksaan Khas
  • Perkhidmatan Pengesahan Pelan Kenderaan

Pemandu Grab: Untuk pemandu Grab, terdapat dua jenis pemeriksaan iaitu 1) Pemeriksaan Berkala E-hailing Pertama dan 2) Pemeriksaan Berkala Semula E-hailing. Pemeriksaan Berkala Semula hanya diperlukan sekiranya anda gagal dalam pemeriksaan sebelumnya. Klik sini untuk membaca panduan pendaftaran pemandu Grab.

Pemeriksaan Sukarela (Voluntary Inspection): Pemilik kenderaan boleh membuat pemeriksaan kenderaan mereka di PUSPAKOM. Tawaran harga menarik atau pemeriksaan percuma juga ada ditawarkan terutamanya ketika musim perayaan.

Langkah 2: Sediakan Dokumen Yang Diperlukan

Pemeriksaan oleh pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan

Pemeriksaan oleh bukan pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan Wakil, Surat Wakil

Langkah 3: Mendaftar Untuk Temu Janji Pemeriksaan

Laman web: Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.

Aplikasi mudah alih (mobile app): Jika anda mempunyai telefon mudah alih pintar (smartphone) Android, anda boleh memuat turun Mobile App myPUSPAKOM di Google Play Store. Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.

Pendaftaran myPUSPAKOM sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Sebaik sahaja anda mendaftar, anda boleh membuat temu janji berserta bayaran. Bayaran boleh dibuat melalui kad kredit atau kad debit pilihan anda.

Langkah 4: Hadir Untuk Pemeriksaan

Ada Temu Janji: Anda hanya perlu membawa dokumen temu janji atau kod QR untuk pengesahan temu janji.

Anda boleh megimbas kod QR boleh dibuat di pintu masuk PUSPAKOM, berhampiran pintu pagar. Kebiasaannya proses ini mudah kerana anda hanya perlu mengimbas kod QR dalam telefon pintar atau dokumen pengesahan temu janji yang dicetak. Tiada bayaran yang perlu dibuat ketika mengimbas kod QR atau pemeriksaan kerana bayaran sudah dibuat lebih awal semasa proses daftar temu janji di laman web / aplikasi mudah alih myPUSPAKOM.

Tiada Temu Janji: Sila hadir ke Puspakom dan isi borang pemeriksaan. Bayaran boleh dibuat sebelum pemeriksaan bermula.

[ Kemas kini 14 November 2020 ] Maklumat Penting Untuk Temu Janji

Pihak PUSPAKOM meletakkan notis dalam laman myPUSPAKOM seperti berikut:

Pelanggan yang dihargai,

Mulai 10 Oktober 2020, PUSPAKOM tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pembatalan dan pembayaran balik temujanji pemeriksaan. Pelanggan hanya boleh menukar tarikh temujanji sebelum 5 hari daripada tarikh pemeriksaan dan ianya hanya boleh dilakukan SEKALI sahaja.

Sila klik Terma & Syarat Polisi Tiada Pemulangan Bayaran di www.mypuspakom.com.my/Home/Terms untuk mendapat maklumat yang lanjut. Terima kasih.

PUSPAKOM Sdn Bhd

Langkah 5: Dapatkan Keputusan Pemeriksaan

Apabila kenderaan anda selesai diperiksa, pegawai PUSPAKOM akan memanggil anda untuk memaklumkan keputusan pemeriksaan. Jika anda gagal, anda perlu hadir semula dalam tempoh sebulan untuk menjalani “pemeriksaan semula”. Jika anda gagal hadir dalam tempoh yang ditetapkan, anda harus melakukan pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan baru.

Lulus: Anda telah lulus pemeriksaan dan dokumen perakuan kelulusan akan dikeluarkan oleh pihak PUSPAKOM.

Gagal: Anda akan menerima laporan pemeriksaan VR1 yang mengandungi keputusan pemeriksaan. Pegawai akan memaklumkan kepada anda punca-punca gagalnya kenderaan anda mencapai standard yang diperiksa oleh PUSPAKOM. Anda perlu hadir untuk pemeriksaan semula dalam masa yang ditetapkan oleh pihak PUSPAKOM. Pemeriksaan semula hanya boleh dibuat di PUSPAKOM yang sama dengan pemeriksaan pertama kali.

Gagal lebih 3 kali: Sekiranya anda telah gagal melebihi 3 kali, anda diwajibkan untuk bertemu pegawai PUSPAKOM untuk perbincangan lebih lanjut. Menurut pengalaman pengguna, pegawai PUSPAKOM tersebut hanya menasihati pengguna berkenaan faktor-faktor kegagalan pemeriksaan. Urusan pembaikan kenderaan perlu dilakukan sendiri oleh pemilik kenderaan.

Soalan-soalan Lazim dan Nota Untuk Pengguna

Bagaimana saya ingin membuat bayaran pemeriksaan di PUSPAKOM? Bayaran-bayaran untuk pemeriksaan yang disenaraikan adalah bayaran sahaja tanpa Cukai Perkhidmatan (SST). Sila bawa wang lebih untuk membayar SST sebanyak 6% daripada jumlah bayaran pemeriksaan yang dikenakan.

Bolehkah saya membuat bayaran dengan kad kredit / debit di kaunter PUSPAKOM? Walaupun kebanyakan lokasi PUSPAKOM menerima kaedah pembayaran melalui kad kredit, namun begitu kadang-kadang mesin kad kredit mereka mengalami masalah. Oleh itu, para pengguna yang membuat bayaran di pusat pemeriksaan wajar untuk membawa wang tunai yang mencukupi.

Sekiranya saya gagal, adakah bermakna saya perlu menggunakan khidmat runner, gerenti “lulus” PUSPAKOM? Sekiranya anda gagal pemeriksaan, anda harus meneliti punca-punca kegagalan. Sebagai contoh, sebahagian kecil daripada kereta Proton mengalami masalah brek belakang. Oleh itu, anda perlu memastikan brek bahagian belakang anda diservis di bengkel-bengkel yang memiliki kepakaran untuk melaksanakan penyelenggaran tersebut. Walaupun ramai antara pengguna lain menasihati anda untuk menggunakan khidmat runner, namun penggunaan khidmat runner tetap tidak dijamin akan lulus. Sebaiknya, sila jalani sendiri pemeriksaan kenderaan anda di PUSPAKOM untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan punca-punca anda gagal pemeriksaan dan apa yang boleh dilakukan untuk memastikan anda lulus pemeriksaan.

Panduan Memohon Lesen PSV Untuk Pemandu Grab

Pada tahun 2018, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa para pemandu perkhidmatan e-hailing Grab bakal diwajibkan mematuhi beberapa peraturan bagi membolehkan mereka terus memandu bersama Grab dan mengambil penumpang. Antara peraturan yang diperkenalkan ialah keperluan untuk memiliki lesen PSV.

Waktu Operasi Semua Cawangan PUSPAKOM (bermula 10 September 2019)
Waktu Operasi Semua Cawangan PUSPAKOM (bermula 10 September 2019)

Walaupun peraturan-peraturan baru e-hailing dikatakan akan berkuat kuasa pada 12 Julai 2019, namun disebabkan oleh terdapatnya bantahan daripada komuniti pemandu e-hailing dan juga ketidak sediaan daripada sebahagian besar daripada mereka, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa selama tiga bulan. Oleh itu, bermula 12 Oktober 2019, hanya pemandu e-hailing yang memiliki PSV sahaja boleh mengambil penumpang, di samping keperluan untuk mematuhi beberapa peraturan lain.

Langkah 1: Pemeriksaan kesihatan

Kerajaan berhasrat untuk memastikan hanya pemandu Grab yang sihat sahaja boleh memandu. Oleh itu, sebagai sebahagian daripada syarat untuk memohon lesen PSV, para pemandu Grab dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Pemeriksaan kesihatan untuk lesen PSV ini boleh dibuat di mana-mana klinik panel Grab atau mana-mana klinik yang menawarkan perkhidmatan “medical checkup” untuk lesen PSV.

Anda wajib lulus untuk saringan kesihatan ini.

Dokumen yang wajib dibawa semasa hadir untuk sesi saringan kesihatan ini ialah 1) Kad Pengenalan dan 2) Borang JPJ L8A: Pemeriksaan Kesihatan Permohonan Lesen Vokasional.

Langkah 2: Kursus Teori Lesen PSV

Bermula 12 Oktober 2019, pihak Grab menawarkan kursus teori bagi proses permohonan lesen PSV. Kursus ini mengambil masa selama separuh hari dan dijalankan di Grab Driver Centre Axis di Petaling Jaya dan beberapa lokasi lain. Klik pautan di bawah untuk mengetahui lokasi-lokasi yang menawarkan perkhidmatan kursus teori PSV.

Klik sini untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Grab untuk rakan-rakan pemandunya.

Langkah 3: Peperiksaan PSV

Selepas menghadiri kelas teori, anda perlu meneruskan dengan urusan peperiksaan PSV. Peperiksaan ini dijalankan oleh pihak JPJ.

Tempoh masa ialah sejam (60 minit) dan terdapat 60 soalan objektif aneka pilihan untuk anda jawab. Soalan-soalan yang dikemukakan pula dalam Bahasa Melayu.

Keputusan peperiksaan ini hanya akan dipaparkan secara atas talian (online). Semakan keputusan boleh dibuat melalui laman mySIKAP JPJ.

Langkah 4: Memohon lesen PSV di cawangan JPJ Negeri

Mendaftar lesen PSV di mana-mana pejabat JPJ cawangan negeri (kecuali Putrajaya). Dokumen yang diperlukan ialah:

a) Laporan pemeriksaan perubatan: Laporan pemeriksaan perubatan ini merupakan borang JPJ L8A yang telah diisi oleh doktor. Sila pastikan borang tersebut diisi dengan lengkap.

b) Salinan lesen memandu: Sila pastikan anda telah memfotokopi sesalinan lesen memandu anda untuk diberikan kepada pihak JPJ.

c) Pengesahan peperiksaan PSV

d) Resit ASAL bayaran pemeriksaan perubatan: Apabila selesai pemeriksaan perubatan, sila simpan resit tersebut kerana resit ASAL ini ialah salah satu dokumen wajib dibawa semasa proses permohonan lesen PSV.

e) Kad Pengenalan

f) Lesen Memandu: Lesen memandu perlu memiliki tempoh sah selama melebihi 1 tahun daripada tarikh permohonan lesen PSV. Sekiranya tarikh tamat tempoh lesen memandu anda semakin hampir, anda perlu memperbaharui lesen memandu tersebut terlebih dahulu di mana-mana cawangan JPJ, Pejabat Pos atau UTC berdekatan.

Bayaran ialah RM 20.00 setahun. Apabila selesai membuat bayaran kepada pihak JPJ, sila minta resit tanda bayaran kerana resit tersebut boleh digunakan sebagai rujukan di masa hadapan dan juga dapat membasmi amalan rasuah kerana wang yang diterima tersebut akan dimasukkan dalam sistem komputer JPJ.

Anda belum mendaftar sebagai rakan pemandu Grab?Klik sini untuk mendaftar.

Anda belum mendaftar akaun eWallet Touch ‘N Go? Diskaun hebat dan rebat tol menanti anda. Klik sini untuk mendaftar.

Jika kenderaan anda berusia 3 tahun ke atas, anda wajib menjalani pemeriksaan PUSPAKOM. Klik sini untuk panduan.

Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (VVI) PUSPAKOM: Segalanya Yang Anda Perlu Tahu

Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 ini, PUSPAKOM menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela secara PERCUMA! Untuk mempromosi VVI ini, PUSPAKOM juga telah menerbitkan video khas di laman YouTube yang bertajuk “Temui Jodoh di VVI”.

Di manakah boleh saya mendapatkan VVI untuk kenderaan saya: Anda boleh melakukan pemeriksaan di semua cawangan PUSPAKOM kecuali Shah Alam dan juga Pasir Gudang. Anda cuma perlu hadir sendiri ke mana-mana cawangan PUSPAKOM seperti yang dinyatakan dan maklumkan bahawa anda hadir untuk urusan VVI. Klik sini untuk panduan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Apakah waktu operasi pusat pemeriksaan PUSPAKOM: Klik sini untuk mendapatkan maklumat waktu operasi pusat pemeriksaan PUSPAKOM.