Waktu Operasi Baharu PUSPAKOM

Mengikut statistik pemeriksaan kenderaan semasa dan permintaan daripada pemandu e-hailing, pihak PUSPAKOM telah melanjutkan waktu pemeriksaan.

Panduan pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM

Sila klik gambar di bawah untuk melihat waktu pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Waktu Operasi Baharu Cawangan PUSPAKOM
Waktu Operasi Baharu Cawangan PUSPAKOM

Untuk maklumat lanjut berkenaan senarai cawangan dan alamat pusat pemeriksaan PUSPAKOM, sila lihat maklumat di laman web PUSPAKOM.

Dikemas kini pada

Panduan Pemeriksaan PUSPAKOM

Pemeriksaan PUSPAKOM ialah pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dijalankan oleh pihak PUSPAKOM. PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi tujuan pemeriksaan kenderaan. Antara sebab-sebab yang memerlukan anda menjalani pemeriksaan PUSPAKOM ialah proses jual beli kenderaan, ubah suai, penggunaan komersil dan juga penggunaan e-hailing seperti Grab.

PUSPAKOM ialah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1994 bagi tujuan menjalankan pemeriksaan kenderaan (vehicle inspection) bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Laman Web PUSPAKOM

Mulai 12 Julai 2019, semua kenderaan e-hailing yang berusia 3 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di PUSPAKOM. Jika anda memandu kenderaan persendirian bagi tujuan e-hailing seperti Grab, anda perlu membuat pemeriksaan berkala di PUSPAKOM.

Berikut dipaparkan langkah-langkah yang boleh anda ikuti untuk membuat pemeriksaan kenderaan anda di PUSPAKOM.

Langkah 1: Kenal Pasti Jenis Pemeriksaan PUSPAKOM

  • Pemeriksaan Berkala
  • Pemeriksaan Tukar Milik
  • Pemeriksaan Sewa Beli
  • Pemeriksaan Awalan
  • Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela
  • Pemeriksaan Khas
  • Perkhidmatan Pengesahan Pelan Kenderaan

Pemandu Grab: Untuk pemandu Grab, terdapat dua jenis pemeriksaan iaitu 1) Pemeriksaan Berkala E-hailing Pertama dan 2) Pemeriksaan Berkala Semula E-hailing. Pemeriksaan Berkala Semula hanya diperlukan sekiranya anda gagal dalam pemeriksaan sebelumnya. Klik sini untuk membaca panduan pendaftaran pemandu Grab.

Langkah 2: Sediakan Dokumen Yang Diperlukan

Pemeriksaan oleh pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan

Pemeriksaan oleh bukan pemilik kenderaan: Geran / VOC, Kad Pengenalan Wakil, Surat Wakil

Langkah 3: Mendaftar Untuk Temu Janji Pemeriksaan

Laman web: Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.

Aplikasi mudah alih (mobile app): Jika anda mempunyai telefon mudah alih pintar (smartphone) Android, anda boleh memuat turun Mobile App myPUSPAKOM di Google Play Store. Anda boleh mendaftar akaun myPUSPAKOM di laman web https://www.mypuspakom.com.my. Kemudiannya, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.

Pendaftaran myPUSPAKOM sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Sebaik sahaja anda mendaftar, anda boleh membuat temu janji berserta bayaran. Bayaran boleh dibuat melalui kad kredit atau kad debit pilihan anda.

Langkah 4: Hadir Untuk Pemeriksaan

Ada Temu Janji: Anda hanya perlu membawa dokumen temu janji atau kod QR untuk pengesahan temu janji.

Anda boleh megimbas kod QR boleh dibuat di pintu masuk PUSPAKOM, berhampiran pintu pagar. Kebiasaannya proses ini mudah kerana anda hanya perlu mengimbas kod QR dalam telefon pintar atau dokumen pengesahan temu janji yang dicetak. Tiada bayaran yang perlu dibuat ketika mengimbas kod QR atau pemeriksaan kerana bayaran sudah dibuat lebih awal semasa proses daftar temu janji di laman web / aplikasi mudah alih myPUSPAKOM.

Tiada Temu Janji: Sila hadir ke Puspakom dan isi borang pemeriksaan. Bayaran boleh dibuat sebelum pemeriksaan bermula.

Langkah 5: Dapatkan Keputusan Pemeriksaan

Apabila kenderaan anda selesai diperiksa, pegawai PUSPAKOM akan memanggil anda untuk memaklumkan keputusan pemeriksaan. Jika anda gagal, anda perlu hadir semula dalam tempoh sebulan untuk menjalani “pemeriksaan semula”. Jika anda gagal hadir dalam tempoh yang ditetapkan, anda harus melakukan pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan baru.

Lulus: Anda telah lulus pemeriksaan dan dokumen perakuan kelulusan akan dikeluarkan oleh pihak PUSPAKOM.

Gagal: Anda akan menerima laporan pemeriksaan VR1 yang mengandungi keputusan pemeriksaan. Pegawai akan memaklumkan kepada anda punca-punca gagalnya kenderaan anda mencapai standard yang diperiksa oleh PUSPAKOM. Anda perlu hadir untuk pemeriksaan semula dalam masa yang ditetapkan oleh pihak PUSPAKOM. Pemeriksaan semula hanya boleh dibuat di PUSPAKOM yang sama dengan pemeriksaan pertama kali.

Gagal lebih 3 kali: Sekiranya anda telah gagal melebihi 3 kali, anda diwajibkan untuk bertemu pegawai PUSPAKOM untuk perbincangan lebih lanjut. Menurut pengalaman seorang pengguna, pegawai PUSPAKOM tersebut hanya menasihati pengguna berkenaan faktor-faktor kegagalan pemeriksaan.

Soalan-soalan Lazim dan Nota Untuk Pengguna

Bagaimana saya ingin membuat bayaran pemeriksaan di PUSPAKOM? Bayaran-bayaran untuk pemeriksaan yang disenaraikan adalah bayaran sahaja tanpa Cukai Perkhidmatan (SST). Sila bawa wang lebih untuk membayar SST sebanyak 6% daripada jumlah bayaran pemeriksaan yang dikenakan.

Bolehkah saya membuat bayaran dengan kad kredit / debit di kaunter PUSPAKOM? Walaupun kebanyakan lokasi PUSPAKOM menerima kaedah pembayaran melalui kad kredit, namun begitu kadang-kadang mesin kad kredit mereka mengalami masalah. Oleh itu, para pengguna yang membuat bayaran di pusat pemeriksaan wajar untuk membawa wang tunai yang mencukupi.

Sekiranya saya gagal, adakah bermakna saya perlu menggunakan khidmat runner, gerenti “lulus” PUSPAKOM? Sekiranya anda gagal pemeriksaan, anda harus meneliti punca-punca kegagalan. Sebagai contoh, sebahagian kecil daripada kereta Proton mengalami masalah brek belakang. Oleh itu, anda perlu memastikan brek bahagian belakang anda diservis di bengkel-bengkel yang memiliki kepakaran untuk melaksanakan penyelenggaran tersebut.

Dikemas kini pada